Sekali-sekala, jika dilihat dari Bumi, Zuhrah akan kelihatan seperti bintang. Tapi ianya bukan bintang tau sebaliknya adalah planet. Apabila ia berada pada kedudukan yang dekat dengan Bumi, Zuhrah akan kelihatan sangat cerah dengan mencecah magnitud hampir -5. Zuhrah sepanjang masa langitnya dilitupi oleh atmosfera yang tebal menyebabkan kita sukar untuk melihat permukaan Zuhrah menggunakan teleskop optikal dari Bumi.
Planet Zuhrah merupakan planet yang diameter di khatulistiwa hampir sama dengan Bumi cuma beza hanya sekitar 650 km. Zuhrah mempunyai ketumpatan atmosfera yang sangat tinggi. Kadar tarikan gravitinya adalah 90% apa yang kita rasai di Bumi sepertinya tidak ada masalah untuk tinggal disitu kan? Sebabkan tarikan gravitinya hanya 90% daripada Bumi. Tapi…
Atmosfera Bumi kebanyakkan mengandungi nitrogen, oksigen dan karbon dioksida. Berbeza dengan Zuhrah, atmosferanya sangat tumpat dan tebal. Ia mengandungi lebih 95% karbon dioksida dan beberapa peratus bahan kimia lain seperti asid sulfurik. Kalau nak dibandingkan dengan di Bumi, sedikit kenaikan paras karbon dioksida dan gas rumah hijau yang lain akan mengakibatkan pemanasan global. Suhu di planet Zuhrah boleh mencecah sehingga 465°C yang boleh mencairkan besi plumbum menjadikan ia planet paling panas dalam sistem suria.
Pada tahun 1981, Soviet Union menghantar prob angkasa Venera 13 ke planet Zuhrah. Ianya misi yang berjaya buat seketika kerana prob itu “hidup” selama 127 minit di atas permukaan Zuhrah yang extreme tu.
Tekanan atmosfera ke atas permukaan planet ini adalah 90 kali dengan jumlah tekanan atmosfera di Bumi. Bayangkan jika ada angkasawan yang mendarat di Zuhrah, dia akan penyek dengan serta merta disebabkan tekanan atmosfera tadi disamping lemas dengan gas karbon dioksida di udaranya. Tak cukup teruk lagi? haa..disebabkan Zuhrah mempunyai lapisan atmosfera yang tebal dan berasid, ia mampu menghasilkan deruan angin lebih 300 km/j dan jika hujan, ianya menurunkan hujan asid sulfurik. Sonang ceghito eh..takdo bondo buleh hidup lamo kek sini haa!!
Planet Zuhrah merupakan planet pertama yang dilawati kapal angkasa sejak tahun sekitar 1962. Sejak dari itu, hampir 40 misi telah dilancarkan, ada antaranya yang flyby, mengorbit dan mendarat di permukaan Zuhrah yang extreme. Jika ditelusuri sejarah, sekitar tahun 1610, Galileo mengkaji Zuhrah menggunakan teleskopnya. Galileo mendapati bahawa planet itu mempunyai fasa-fasanya seperti fasa bulan. Adakala ia seperti berbentuk sabit dan adakalanya berbentuk seperti hampir penuh. Fasa-fasa ini berubah mengikut sudut pandang kita terhadap planet itu dan juga disebabkan pergerakkan planet itu mengelilingi matahari. Galileo mendapati ianya menyokong idea Copernicus bahawa Zuhrah mengelilingi matahari bukannya Bumi.
Transit planet. Pernah dengar? Transit planet berlaku sebagai contoh, apabila ada planet lain melalui di hadapan matahari dari sudut pandang kita di Bumi. Antara fenomena transit planet itu adalah transit planet Utarid dan transit planet Zuhrah. Kali terakhir transit planet Utarid adalah pada 9 Mei 2016 dan akan berlaku lagi pada 11 Nov 2019 manakala kali terakhir transit planet Zuhrah adalah pada 6 Jun 2012 dan akan berlaku lagi pada 11 Disember 2117. Tak tahu lah wujud lagi ke tak Bumi ketika 2117 tu hehe. Pada tahun 1639 ahli astronomi Jeremiah Horrocks dan William Crabtree merupakan yang pertama menyaksikan transit planet Zuhrah. melalui fenomena ini, ia membolehkan para ahli astronomi membuat perkiraan tepat antara jarak Bumi-Matahari.
Fakta Tentang Zuhrah
Jarak dari Matahari: 107.5 hingga 108.9 juta km
Diameter: 12,104 km
1 hari Zuhrah = 243 hari Bumi
1 tahun Zuhrah = 224.7 hari Bumi
Tidak mempunyai Bulan
Jenis planet berbatu
Telah dilawati oleh beberapa kapal angkasa NASA: Mariner 2, Mariner 5, Mariner 10, Pioneer Venus 1 dan beberapa lagi.
Rujukan: The Planets, spaceplace.nasa, Out of This World (All the Cool Bits About Space), featured image: NASA