Gugusan Bintang Terbuka

Featured image: Imej gugusan bintang terbuka NGC2383 dan NGC2384 yang dirakam oleh penulis dari Balai Cerap Telok Kemang.

Sesetengah bintang di angkasa lepas sana adalah dijumpai dalam keadaan gugusan bintang. Sesebuah gugusan bintang berada berhampiran antara bintang-bintang lain adalah disebabkan tarikan graviti bersama yang seakan-akan mengikat antara bintang-bintang itu. Gugusan bintang ini kebiasaannya mempunyai sejarah kelahiran dari awan gas debu gergasi yang sama. Dengan makna lain, umur bintang-bintang dalam gugusan bintang adalah hampir sebaya.

Malah bintang-bintang ini juga mempunyai komposisi kimia yang hampir sama antara satu sama lain. Namun begitu, hakikatnya bintang-bintang ini tetap juga akan berbeza kerana ia bergantung kepada ciri-ciri bintang itu atau jisim bintang itu sendiri. Gugusan bintang ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu jenis gugusan bintang globular (globular star cluster) dan gugusan bintang terbuka (open star cluster).

Dalam artikel ini, penulis akan menceritakan mengenai gugusan bintang terbuka.

Gambar gugusan bintang jula juli bintang yang dirakam penulisan ketika aktiviti stargazing di Kuala Nerang, Kedah.

Gugusan bintang terbuka amat berbeza sekali daripada gugusan bintang globular. Ini disebabkan gugusan bintang terbuka mempunyai longokan bintang yang mempunyai aturan/susunan yang tidak teratur. Jumlah bintang dalam gugusan bintang terbuka boleh mempunyai antara ratusan hingga ribuan bintang. Bintang-bintang dalam gugusan ini adalah lebih baru atau dengan erti kata lain bintang-bintang muda. Ini sangat berbeza dengan bintang-bintang dalam gugusan globular.

Banyak gugusan bintang terbuka ini terletak di bahagian lengan galaksi bima sakti. Ianya agak jauh dari pusat bima sakti. Bintang-bintang dalam gugusan ini adalah bintang-bintang yang terang. Bintang-bintang dari gugusan ini kelihatan berselerakan kerana ianya ditakdirkan untuk menjauhi dari kluster bintang lain yang disebabkan oleh pengaruh gangguan graviti dari objek samawi yang lain dalam galaksi. Sehingga kini terdapat lebih kurang 1100 gugusan bintang terbuka dalam galaksi bima sakti.

Kebanyakkan gugusan bintang terbuka ini adalah berusia kurang dari 200 juta tahun dan ada dikalangan beberapa gugusan bintang terbuka ini yang bintangnya berusia hanya beberapa juta tahun sahaja. Malah, bintang-bintang muda ini masih ada lagi yang diselubungi awan gas debu dari asal kelahirannya. Salah satu contoh gugusan bintang terbuka ini adalah Pleiades (juga dikenali sebagai Seven Sisters atau Jula Juli Bintang Tujuh atau Thurayya atau Subaru atau Kertika)

Gambar gugusan bintang Jewel Box yang dirakam penulisan ketika berastrofotografi di Observatori Negara Langkawi.

Selain Pleiades, gugusan bintang terbuka Jewel Box (NGC 4755) juga adalah salah satu contohnya. Gugusan bintang terbuka ini terletak dalam buruj Pari (juga dikenali sebagai Crux atau Southern Cross). Jewel Box terletak berhampiran dengan salah satu bintang dalam buruj Pari iaitu bintang Mimosa. Gugusan bintang terbuka Jewel Box dan Pleiades adalah antara gugusan bintang yang mudah untuk dilihat dengan mata kasar tanpa menggunakan teleskop.

Rujukan:

Alan Dyer. 2011. Star. United Kingdom. Templar Publishing. p. 28.

Mike Flynn. 2006. Astronomy. London. Barron’s Educational Series. p. 84.

n.a. 27 Ogos 2007. “Open Star Cluster”. messier.seds.org. http://www.messier.seds.org/open.html.

n.a. 28 Mei 2018. “What Is a Light-Year?”. SpacePlace NASA. https://spaceplace.nasa.gov/light-year/en/ .

Sue Becklake, John Farndon, Tim Furniss & Clint Twist. 2014. Enclyopedia Space. United Kingdom. Miles Kelly Publishing Ltd. p. 167.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *