Gugusan Bintang Globular

Featured image: Imej gugusan bintang globular Omega Centauri yang dirakam oleh penulis.

Sesetengah bintang di angkasa lepas sana adalah dijumpai dalam keadaan gugusan bintang. Sesebuah gugusan bintang berada berhampiran antara bintang-bintang lain adalah disebabkan tarikan graviti bersama yang seakan-akan mengikat antara bintang-bintang itu. Gugusan bintang ini kebiasaannya mempunyai sejarah kelahiran dari awan gas debu gergasi yang sama. Dengan makna lain, umur bintang-bintang dalam gugusan bintang adalah hampir sebaya.

Malah bintang-bintang ini juga mempunyai komposisi kimia yang hampir sama antara satu sama lain. Namun begitu, hakikatnya bintang-bintang ini tetap juga akan berbeza kerana ia bergantung kepada ciri-ciri bintang itu atau jisim bintang itu sendiri. Gugusan bintang ini terbahagi kepada 2 jenis iaitu jenis gugusan bintang globular (globular star cluster) dan gugusan bintang terbuka (open star cluster).

Dalam artikel ini, penulis akan menceritakan mengenai gugusan bintang globular.

Gugusan bintang globular Omega Centauri yang dirakam penulis pada 2016 ketika program Bengkel Astrofotografi anjuran Bahagian Falak, Jabatan Mufti Pahang.

Gugusan bintang globular merupakan gugusan bintang yang kelihatan seperti sebuah bola yang padat dengan bintang. Ini disebabkan kedudukan bintang-bintang bagi gugusan bintang globular adalah berhampiran antara satu sama lain. Di dalam sesebuah gugusan bintang globular terdapat bintang-bintang yang sangat banyak dan padat sehingga 10 juta bintang.

Sehingga kini, terdapat kira-kira 150 gugusan bintang globular di dalam galaksi bima sakti. Gugusan bintang ini tua-tua sebenarnya. Ia mempunyai lingkungan umur sekitar 10 bilion tahun. Jika dibandingkan dengan umur bima sakti, perbezaannya adalah hanya 3.7 bilion tahun kerana umur bima sakti adalah 13.7 bilion tahun. Bintang-bintang dalam gugusan bintang globular dianggap mempunyai kandungan besi yang rendah kerana ianya bintang-bintang yang tua telah habis membakar komposisi besi yang lain melalui tindak balas nuklear pada terasnya.

Salah satu contoh gugusan bintang globular ialah Omega Centauri (NGC 5139). Omega Centauri merupakan sejenis gugusan bintang kategori globular. Ini disebabkan ia mempunyai ciri-ciri seperti dinyatakan di atas. Omega Centauri merupakan gugusan bintang globular paling besar dalam galaksi bima sakti dengan diameter 230 tahun cahaya.

Gugusan bintang globular Omega Centauri yang dirakam penulis pada awal tahun 2020.
Jom masuk dalam Omega Centauri.

Rujukan:

Alan Dyer. 2011. Star. United Kingdom. Templar Publishing. p. 28.

Bruce McClure. 11 Mei 2017. “Giant star cluster Omega Centauri”. EartSky. https://earthsky.org/clusters-nebulae-galaxies/omega-centauri-milky-ways-prize-star-cluster.

Elizabeth Howell. 22 Julai 2015. “Globular Clusters: Dense Groups of Stars”. Space.com. https://www.space.com/29717-globular-clusters.html.

Mike Flynn. 2006. Astronomy. London. Barron’s Educational Series. p. 83.

n.a. 28 Mei 2018. “What Is a Light-Year?”. SpacePlace NASA. https://spaceplace.nasa.gov/light-year/en/ .

Sue Becklake, John Farndon, Tim Furniss & Clint Twist. 2014. Enclyopedia Space. United Kingdom. Miles Kelly Publishing Ltd. p. 167.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *