Anatomi Rubu’ Mujayyab

Featured image: Contoh rubu’ mujayyab. Direkabentuk oleh Hj Abdul Rahman Soleh.

Rubu’ mujayyab merupakan sebuah alatan falak yang masyhur serta penggunaannya bagai digunapakai oleh ilmuan falak alam Melayu. Antara tokoh falak alam Melayu yang menggunakan alat ini termasuklah Syeikh Ahmad al-Khatib, Syeikh Abdullah Fahim dan Syeikh Tahir Jalaluddin. Sejarah dan fungsi rubu’ mujayyab boleh dibaca di artikel ini dan ditonton di video ini.

Dalam mengenali ciri-ciri yang ada pada rubu’ mujayyab, ada beberapa perkara yang kita boleh pelajari. Jika menurut Hj Muhammad Soleh bin Hj Harun Kemboja, seperti yang dinukilkan dalam penulisannya naskhah bertajuk Pedoman Bahagia, bahawa terdapat 12 perkara dan 3 perkakas bagi penggunaan rubu’ mujayyab yang sempurna. Selain itu, jika dilihat dalam nota falak berkenaan Muqaddimah dan Penggunaan Rubu’ Mujayyab oleh ustaz Hanafiah Abdul Razak pula, terdapat 1 ciri tambahan yang tiada dinyatakan dalam Pedoman Bahagia. Ini akan diterangkan dalam artikel ini.

Ciri-ciri pada Rubu’ Mujayyab

  1. Markaz (مركز) – Lubang kecil yang dicucukkan tali/benang.
  2. Qaus Irtifa’ (قوس الإرتفاع) – Lengkung pada rubu’ dengan sudut 90° serta mempunyai 12 buruj.
  3. Sittiini (ستيني) – Garisan pada satu sisi rubu’ yang mula daripada markaz hingga akhir qaus dan mempunyai senggatan yang dibahagikan dengan 60°.
  4. Jaib at-Tamam (جيب التمام) – Garisan pada satu sisi rubu’ yang mula daripada markaz hingga awal qaus dan mempunyai senggatan yang dibahagikan dengan 60°.
  5. Juyub Mabsutoh (جيوب مبسوطة) – Garisan-garisan yang turun daripada sittiini kepada qaus.
  6. Juyub Ma’kusah (جيوب معكوسة) – Garisan-garisan yang turun daripada jaib lal-tamam kepada qaus.
  7. Da’irah al-Miil (دائرة الميل) – Garis lengkung seperempat bulatan yang keluar 24° daripada sittiini dan jaib al-tamam.
  8. Qo’imah al-Zil al- Mabsut (قائمة الظل المبسوط) – Garisan yang turun daripada sittiini kepada qaus. Jika 7° dinamakan qo’imah al-aqdam dan jika 12° dinamakan qo’imah al-asobi’.
  9. Qo’imah al-Zil al-Mankus (قائمة الظل المنكوس) – Garisan yang turun daripada jaib al-tamam kepada qaus. Jika 7° dinamakan qo’imah al-aqdam dan jika 12° dinamakan qo’imah al-asobi’.
  10. Qausal asri (قوساالعصر) – Dua garis lengkung yang bermula daripada awal qaus sehingga sittiini. Satu daripadanya dinamakan qaus al-asri al-awwal (قوس العصر الأول) pada 42° 20′ sittiini dan yang keduanya dinamakan qaus al-asri at-thani (قوس العصر الثاني) pada 26° 30′ sittiini.
  11. Da’irah at-Tajyiib (دائرة التجييب) – Dua garis lengkung separuh bulatan yang bermula di markaz dan berakhir di qaus. Garis pertama dinamakan at-tajyiib al-awwal (التجييب الأول) dimana berakhir di akhir qaus. Garis kedua dinamakan at-tajyiib at-thani (التجييب الثاني) dimana berakhir di awal qaus.
  12. Hadafataani (هدفتان) – Dua cabang bahagian di satu sisi rubu’ yang terkeluar daripada rubu’ yang lazimnya di bahagian sittiini.
  13. Khot al-Imtihan (خط الإتحان) [tambahan ciri oleh Ustaz Hanafiah dalam notanya]. – Garisan yang keluar daripada awal qaus melalui titik pertemuan da’irah at-Tajyiib dan berkesudahan di akhir qaus.

Peralatan pada Rubu’ Mujayyab

  1. Khoit (خيط) – Benang yang dicucuk pada markaz.
  2. Muri’ (مرى) – Benang penunjuk yang diikat/dipintal pada khoit sama ada 2 atau 3 benang penunjuk.
  3. Syaqul (شاقول) – Batu atau pemberat yang diikat dihujung khoit.

Rajah Rubu’ Mujayyab

Penerangan anatomi rubu’ mujayyab dalam video ini.

Rujukan:

Anuar Ariffin. 2015. Rubu’ Mujayyab. (Slide). Pulau Pinang.

Hanafiah Abdul Razak. 2015. Muqaddimah dan Kaedah Penggunaan Rubu’ Mujayyab. (Slide). Negeri Sembilan.

Muhammad Soleh. 1934. Pedoman Bahagia. Malaysia: Makhtabaht al-Kamaliaht.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *