Pengenalan Rubu’ Mujayyab

Featured image: Penulis menggunakan rubu’ mujayyab untuk mengetahui altitud Matahari.

Menurut ustaz Hanafiah Abdul Razak, rubu’ bererti seperempat/sukuan dan jib itu adalah jejari. Selain itu, jika dilihat dalam kamus al-Marbawi, rubu’ bermaksud seperempat dan mujayyab bermaksud jalur/urat. Dalam bahasa Inggeris pula ianya digelar kuadran (quadrant).

Rubu’ mujayyab merupakan sebuah alatan teknologi yang dibangunkan untuk kegunaan yang pelbagai. Rubu’ mujayyab atau dalam bahasa melayu disebut sebagai sukuan sinus, merupakan sebahagian daripada asturlab. Alat ini banyak digunakan di alam melayu berbanding asturlab. Antara tokoh falak nusantara yang menggunakan rubu’ mujayyab adalah Syeikh Abdullah Fahim dan Syeikh Ahmad al-Khatib al-Minangkabawi.

Jenis Peralatan Rubu’/Sukuan/Kuadran

  1. Rubu’ Mujayyab (Sukuan Sinus)
  2. Rubu’ ‘Afaki (Sukuan Sejagat)
  3. Rubu’ Muqantar (Sukuan al-Muqantar)
  4. Rubu’ Shakkiziya (Sukuan al-Shakkiziya)

Keempat-empat jenis rubu’ ini mempunyai persamaan dari segi bentuk fizikalnya iaitu sukuan atau satu perempat daripada bulatan. Namun perbezaannya adalah corak garisan, bulatan, maklumat kedudukan cakerawala, peralatan alat bantu hitungan dan cerapan.

Selain itu, itu ada juga pendapat lain menyatakan terdapat beberapa jenis rubu’ yang dicipta sebelum zaman kemunculan Islam iaitu:

  1. Kuadran Mural
  2. Kuadran Davis
  3. Kuadran Geometri

Setiapnya mempunyai kegunaan bagi mengetahui altitud Matahari, ketinggian objek angkasa, mengukur jarak dan lain-lain. Termasuklah juga penggunaannya dalam aspek pelayaran selain cerapan astronomi.

Di samping itu, menurut David A. King, beliau membahagikan rubu’ yang dicipta oleh ahli astronomi Islam kepada tiga iaitu:

  1. Rubu’ al-Mujayyab Sinus (Sine Quadrant)
  2. Rubu’ al-Mujayyab Penyukat Jam (Horary Quadrant)
  3. Rubu’ al-Mujayyab al-Muqantar (Astrolabic Quadrant)
Gambaran ilmuan Islam menggunakan pelbagai alatan falak seperti rubu’, asturlab dan alatan geometri (sumber internet).

Sejarah Kewujudan Rubu’/Kuadran

Dalam menelusuri sejarah kewujudan siapakah yang mencipta rubu’ ini, ternyata terdapat banyak pendapat. Secara ringkasnya,

  • Fancis Sellon White berpendapat rubu’ dicipta oleh seorang ahli astronomi Greek iaitu Copernicus pada tahun 1510.
  • Gassendi menyangkal dakwaan itu berpandukan pendapat beliau bahawa Copernicus meniru rubu’ yang dicipta oleh Ptolemy.
  • Penulisan Hugh Truston memberitahu sekitar 150 A.D. Ptolemy telah menghasilkan sebuah alat yang berfungsi seperti rubu’/kuadran.
  • Julio Samso, A.Y al-Hassan, Francois Charette dan Emilia Calvo sepakat bahawa ilmuan Islam pertama yang mencipta rubu’ adalah al-Khawarizmi.

Sejarah Penggunaan Rubu’ Mujayyab

Penggunaan rubu’ dikatakan bermula sejak sebelum kurun ke-8 Masihi lagi. Antara tokoh falak yang pernah menggunakannya ialah al-Khawarizmi, al-Biruni, Ibnu Syatir, Ibnu Yunus, Syeikh Abdullah Fahim, Syeikh Tahir Jalaluddin dan ramai lagi.

Al-Khawarizmi memanfaatkan penggunaan rubu’ mujayyab untuk menghitung waktu solat. Perkara ini ada dinukilkan dalam kitabnya seperti at-Tarikh dan kitab Surat al-Ard. Selain itu, al-Biruni juga menggunakan rubu’ mujayyab pada zamannya. Ketika itu, al-Biruni menggunakan rubu’ mujayyab untuk mengetahui latitud (ardul balad) dan longitud (thul balad).

Di samping itu, ada juga ahli falak Syria yang menggunakan rubu’ mujayyab dan mengembangkannya iaitu Ibnu Syatir. Hal ini ada dituliskan dalam beberapa kitabnya seperti Rasd Ibnu Syatir, Nuzhat as-Sam fil Amal bil Rubu’ al-Jami’, Iddah Mughayyab fil Amal bil Rubu’ Mujayyab dan Nihayat al-Ghayat fil Amal al-Falakiyyah.

Ada ulama falak alam Melayu memberitahuilmu berkenaan rubu’ mujayyab dikembangkan oleh Ibnu Yunus. Akan tetapi, rubu’ mujayyab yang digunakan di Nusantara ini adalah versi yang dikembangkan oleh Ibnu Syatir.

Naskhah Rubu’ Mujayyab Tertua dalam Bahasa Melayu

Penulisan terawal berkaitan rubu’ mujayyab di alam Melayu telah disalin oleh Syeikh Ahmad al-Khatib pada tahun 1892 dalam satu nota keliling al-Jawhar al-Naqiyaht. Malah, dalam waktu yang dekat sama, Syeikh Ahmad al-Khatib juga telah membuat satu catatan ringkasan naskhah itu dalam Bahasa Melayu pada tahun 1893 dalam nota keliling ‘Alam al-Hussab fi ‘Ilm al-Hisab dengan judul al-Nukhbaht al-Bahiyaht. Ini mejadikannya sebagai naskhah berkaitan rubu’ mujayyab tertua dalam bahasa Melayu yang diketahui sehingga kini.

Antara naskhah berkaitan rubu’ mujayyab yang boleh didapati sekarang adalah naskhah Pedoman Bahagia yang diulang cetak oleh Khazanah Fathaniyah. Ianya dikarang oleh Haji Muhammad Soleh bin Haji Harun Kemboja yang mana naskhah asal dicetak oleh Makhtabaht al-Kamaliaht di Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1934.

Naskhah Pedoman Bahagia yang dimiliki penulis.

Rubu’ Mujayyab Tertua di Alam Melayu

Dalam pengkajian sejarah menurut Baharrudin (2016), tidak ditemui sebarang peralatan rubu’ mujayyab yang seusia atau sezaman bahkan lebih tua dari naskhah rubu’ mujayyab yang ditemui di atas. Meskipun dengan kewujudan naskhah rubu’ mujayab yang dikesan seawal akhir kurun ke-19M di alam Melayu ini, artifak rubu’ mujayyab yang paling tua ditemui adalah kepunyaan Syeikh Abdullah Fahim dalam tahun sekitar 1940-an. Ianya diperbuat daripada kayu dan tembaga. Buktinya seperti yang dalam gambar dibawah yang dijumpai dalam satu penulisan kajian ilmiah oleh Nor Azam pada tahun 2010.

Rubu’ mujayyab milik Syeikh Abdullah Fahim sumber dari Nor Azam (2010).

Fungsi Rubu’ Mujayyab

Rubu’ mujayyab mempunyai fungsi serta kegunaan yang sangat banyak antaranya adalah:

  1. Mengira waktu solat.
  2. Mengira waktu tempatan.
  3. Pengukuran kedudukan objek cakerawala.
  4. Mengira latitud dan longitud tempatan.
  5. Mengetahui titik kardinal tempatan (arah mata angin).
  6. Membuat garisan utara-selatan/timur-barat.
  7. Menghitung dan menanda azimuth kiblat.
  8. Mendapatkan sudut tinggi Matahari semasa.
  9. Mendapatkan deklinasi Matahari.
  10. Menghitung kelebaran sungai.
  11. Mengira kedalaman perigi, sungai dan tali air.
  12. Mengukur ketinggian tanah tinggi/bangunan/objek.
  13. Mengukur jarak antara dua objek.

Alat yang diketahui dengannya jam waktu dan dengan menggunakan Matahari didalam menghisabnya.

al-Khawarizmi (Mafatihul Ulum – Nihayatul ‘Arab)

Penerangan video mengenai pengenalan rubu’ mujayyab disini.

Rujukan:

Anuar Ariffin. 2015. Rubu’ Mujayyab. (Slide). Pulau Pinang.

Baharrudin Zainal. 2016. Pentahkikan Naskhah Falak Alam Melayu. Malaysia: Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Baharrudin Zainal, Sharifah Hamizah Syed Omar, Nurul Afidah Mohd. Toridi & Ahmad Taufan Abdul Rashid. 2019. Kemajuan Kaedah Hitungan Falak. Malaysia: UniSZA.

Hanafiah Abdul Razak. 2015. Muqaddimah dan Kaedah Penggunaan Rubu’ Mujayyab. (Slide). Negeri Sembilan.

Muhammad Soleh. 1934. Pedoman Bahagia. Malaysia: Makhtabaht al-Kamaliaht.

Nor Azzam Mat Noor. 2010. Warisan Falak Syeikh Abdullah Fahim. Malaysia: Jabatan Mufti Negeri Pulau Pinang.

Nurulhuda, Abdu Karim & Mohd Zambri. 2013. Tradisi Kecemerlangan Astronomi Islam. Saadan Man, Mohammaddin Abdul Niri, Khadijah Ismail & Abdul Karim Ali (ed.). Malaysia: Jabatan Fiqh dan Usul, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *